Apa kita mengamati kenyataan itu, memang ada kebenarannya, kerana bukan semua orang Islam khususnya dalam negara kita ini yang terus komited dengan Islam.
Mengapa tidak, sebulan kita berpuasa pada siang hari dan waktu malam bersolat Isyak dan Tarawih bertujuan untuk mensucikan hati, tiba-tiba ada sebahagian mereka merosakkan hati dengan program hiburan pada malam raya, tidakkah tindakan itu menyalahi ajaran baginda Rasulullah s.a.w.
Kita perlu sedar, bahawa petunjuk hidayat Allah tidak terhenti untuk dipohon pada Ramadan sahaja, malah ia perlu dilakukan sepanjang masa agar seluruh agenda hidup kita menepati tuntutan daripada ajaran baginda Rasulullah s.a.w.
Para ulama juga berpesan, ketika menyambut hari raya janganlah kita lupa pula untuk memperdalami Sirah Nabi Muhammad s.a.w., kerana ia merupakan rujukan penting buat kita bagi menerajui kehidupan berteraskan kebenaran yang ditonjolkan bagi dalam sirahnya itu.
Kenyataan mereka ada kebenarannya, kerana Sirah Nabi Muhammad s.a.w. pernah didefinisikan oleh ulama-ulama sirah seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Dr Munir Muhammad al-Ghadban antara lain: Sirah Nabi Muhammad itu adalah pelaksanaan Islam secara praktikal, contoh terbaik bagi mendirikan sebuah Negara Islam, ia juga merupakan sumber pelaksanaan undang-undang Islam dan akhlak-akhlak Islam.
Apabila kita teliti dengan saksama definisi Sirah yang dilontarkan oleh mereka, kita dapat menyelami maksud bahawa segala tindakan, cara hidup, cara bermuamalah, berpakaian, berpolitik, berjiran, mentadbir negara dengan undang-undang Islam dan banyak lagi, semuanya dipraktikkan oleh Nabi yang juga melaksanakan Islam dalam bentuk yang menyeluruh.
Alangkah sedihnya apabila kita dibekalkan oleh para pentazkirah yang diundang khas untuk menyampaikan tazkirah di surau atau masjid yang berdekatan dengan rumah kita pada sebulan Ramadan, banyak pengisian, maklumat agama dan semasa berpaksikan ilmu-ilmu al-Quran, hadis Nabi, Sirah dan lain-lain, ia bertujuan untuk menjadikan kita insan-insan yang dapat mempraktikkan Islam dalam Ramadan dan Syawal, tiba-tiba ada perkara yang merosakkan pahala secara sedara ataupun tidak.
Sebagai contoh, Nabi Muhammad s.a.w. telah mencontohkan kepada kita secara praktikal cara bermuamalat sesama ahli keluarga dengan menjaga batas-batas aurat dengan sempurna, walaupun termasuk ipar duai, biras ibu saudara atau anak saudara perempuan isteri yang bukan mahram dengan kita atau sebaliknya.
Bayangkan pada hari raya baru-baru ini, kita pulang ke kampung untuk menyambutnya dengan girang dan gembira sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana berjaya menjalani ujian puasa sebulan di siang hari, kita berkumpul dengan ahli keluarga yang besar jumlahnya, termasuk kakak-kakar ipar, adik-adik ipar perempuan, biras perempuan yang tidak memahami batas-batas aurat sehingga mereka hanya berhijab (bertudung kepala) ketika dalam perjalanan pulang dalam kereta, tetapi membukanya setelah sampai di rumah mentua mereka.
Tidakkah itu yang pernah dikatakan oleh Nabi, bahawa mati lebih baik daripada kita melihat aurat mereka, ia berlaku dalam rumah kita atau rumah mentua kita sendiri, tidakkah itu satu kemungkaran yang mesti ditangani, Nabi mengajar kita supaya mengubah kemungkaran dengan kuasa yang ada, kalau tidak pun dengan lidah (bercakap) mengenai kemungkaran itu atau pun hanya sekadar berdoa dalam hati yang dianggap selemah-lemah iman.
Kenapa kita mampu mengubahnya? Sanggupkah kita melihat rumah kita sendiri dipenuhi dengan perkara yang dibenci Allah? Pada waktu yang sama kita dibekalkan maklumat agama dalam tazkirah yang disampaikan pada malam-malam Ramadan.
Apakah kita sanggup melihat saban tahun menyambut hari raya dalam keadaan kita berdosa kepada Allah SWT? Kalau persekitaran kita pada hari ini tidak bersifat Islamik kerana tidak mampu untuk membendung kemungkaran, mengapa kita membiarkan kemungkaran yang sama juga melanda rumah tangga kita? Di sinilah letaknya keupayaan dan keberkesanan ilmu yang kita garap sebelum dan selepas Ramadan.
Ini menunjukkan bahawa, pentingnya ilmu-ilmu fiqh yang menceritakan persoalan hukum-hukum agama, akidah yang memantapkan kepercayaan kita kepada Allah, Sirah Nabi yang mencontohkan Islam secara praktikal, ilmu tafsir yang menghuraikan isu-isu semasa, hadis-hadis Nabi yang memimpin kita ke jalan kebenaran.
Justeru, kita perlu mengintegrasikan ilmu-ilmu tersebut dalam satu tubuh badan kita sebagai Muslim yang komited kepada Islam. Mengapa kita masih tidak mahu memantapkan diri dengan ilmu-ilmu tersebut, kita masih mahu membuang masa dengan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan Islam.
Ingatlah wahai saudara-saudariku sekalian, kematian tidak mengenal usia atau memilih kedudukan seseorang, ia akan menjemput kita menghadapi Allah SWT. Biarlah ketika nyawa kita dicabut, kita berada dalam keadaan dan suasana yang amat disukai Allah, sama ada ketika membaca al-Quran, mendengar kuliah agama, memberi nasihat atau motivasi yang baik-baik kepada anak-anak kita, memantau pembelajaran mereka dan sebagainya, apatah lagi ketika kita sedang tunduk dan sujud kepada-Nya.
Sesungguhnya memperkasa diri dengan Sirah Nabi banyak membantu kita untuk mengislamisasikan agenda hidup, termasuk mentadbir negara dengan undang-undang Islam yang dicipta khusus kepada kita oleh Allah SWT Yang Maha Bijaksana.
the leader is a reader