Lautan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T yang Maha Pengasih terhadap makhlukNya. Selawat dan salam diberikan kepada junjungan agung Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat Baginda, para sahabat dan tabi’in serta semua pendukung yang ikhlas berjuang meneruskan mata-mata rantai perjuangan dalam menegakkan agama yang suci ini.

Alhamdulillah sebulan sudah kita telah selamat menghadapi bulan Ramadhan al-Mubarak. Diharapkan agar segala Tarbiyah daripada bulan Ramadhan ini digunakan sebaik mungkin bagi kita untuk lebih mempertingkatkan ibadat kepada Allah S.W.T. Contohnya, janganlah jika semasa bulan Ramadhan sahaja kita sentiasa solat berjemah di masjid tetapi selepas bulan Ramadhan ini, batang hidung pun sudah tidak kelihatan lagi. Bagi saya, ini sangat menyedihkan apabila kita telah berubah kembali liat untuk beribadat kepada Allah. Firman Allah dalam surah ad-Dzariyat yang bermaksud:

56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepada Ku.


Sepatutnya kita ketahui bahawa tujuan kita manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T semata-mata. Inilah yang dikatakan hakikat kita dijadikan adalah untuk beribadat kepada Allah dan juga khalifah di muka bumi. Marilah kita sama-sama muhasabah kembali adakah kita beribadat semata-mata ingin mengejar pahala sahaja atau yang lebih penting bagi mendapatkan Keredhaan Allah S.W.T. Fikir-fikirlah bersama....


Kembali kepada tajuk perbincangan asal, dalil-dalil terutamanya daripada al-Quran amat penting supaya menjadi bukti kepada sesuatu perkara perbincangan khususnya perkara yang tidak tercapai akal manusia biasa. Oleh itu, saya cuba menyusun kembali dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran menunjukkan bahawa nabi Muhammad adalah Rasul terakhir yang di utuskan kepada umat akhir zaman.



1) AL-QURAN


a) Nabi Muhammad s.a.w bukanlah tuhan ataupun anak tuhan. Sebaliknya Baginda hanyalah manusia biasa yang menerima Wahyu Allah S.W.T. Firman Allah

110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi)

b) Nama Nabi Muhammad s.a.w juga disebut dalam Kitab-kitab terdahulu. Firman Allah S.W.T


6. Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab Yang diturunkan sebelumku, Iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira Dengan kedatangan seorang Rasul Yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir Yang jelas nyata!" (Surah as-Saff)

c) Nabi Muhammad s.a.w seorang yang ‘ummi’ iaitu buta huruf, berdasarkan Firman Allah S.W.T


157. "Iaitu orang-orang Yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi Yang Ummi, Yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di Dalam Taurat dan Injil Yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka Dengan perkara-perkara Yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara Yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka Segala benda Yang baik, dan mengharamkan kepada mereka Segala benda Yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu Yang ada pada pada mereka. maka orang-orang Yang beriman kepadaNya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) Yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang Yang berjaya. (Surah al-A’raf)

d) Akhlak Nabi Muhammad s.a.w juga adalah yang terpuji dan tidak ada tolok bandingnya seperti Firman Allah


4. Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia. (Surah al-Qalam)

e) Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul terakhir yang di utuskan ke atas umat akhir zaman ini. Melalui sejarah, Musailamah al-Kazzab, Tulaihah, Ghulam ahmad Qadiani, Ahmad Musyadeq, Kahar dan sebagainya mengaku sebagai utusan Allah.Tetapi, Allah telah menegaskan bahawa nabi dan Rasul terakhir selepas nabi Isa adalah Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah


40. Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa Yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan Segala Nabi-nabi. dan (ingatlah) Allah adalah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Ahzab)



Bersambung…..