Alhamdulillah syukur setinggi-tingginya kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang bernyawa oleh Allah S.W.T, tanpa nyawa ini adakah kita masih dapat melakukan urusan seharian. Oleh itu, gunakanlah peluang yang di beri ini dengan sebaik-baiknya, agar segala urusan yang dilakukan mendapat rahmat daripada Allah S.W.T InsyaAllah hendaknya.

Pada asasnya, matlamat pendidikan (tarbiyah) adalah untuk memelihara fitrah manusia. Oleh itu, bagi mencapai matlamat ini manusia dituntut agar mengamalkan satu sistem pendidikan rabbani yang dapat mengantar manusia kepada jalan Allah seterusnya beroleh kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Kenyataannya, dewasa ini kita sering kali menemukan ‘methodology’ yang bukan sahaja tidak efektif bahkan boleh menjerumuskan manusia kepada penyimpangan kepada ajaran Islam itu sendiri. Dan jika keadaan ini semakin berleluasa akan menyebabkan manusia kehilangan akidah Islam seterusnya bertuhankan hawa nafsu semata-mata.

Keadaan ini sekaligus mendorong atau menuntut supaya kita kembali semula kepada sistem yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah,ijmak Ulama, dan Qias. Sistem yang hendak diamalkan haruslah kesepaduan antara aspek ketuhanan dan keilmuan untuk dijadikan pegangan kita dalam membina kebangkitan ummah. Hari ini, isme dan ideology yang di bina berteraskan akal manusia telahpun meruntuhkan aqidah dan telah gagal membina akhlak manusia. Mahu terima atau tidak bahawa kesan kehidupan dunia barat terhadap dunia negara Islam itu sendiri telah diresapi oleh fahaman jahiliah walau hidup di zaman moden. Tetapi, Alhamdulillah kerana umat Islam hari ini semakin mendapat kesedaran dalam kembali kepada ajaran Islam sebenar.


17 Ramadhan 1429