BANGKIT!!!
Posted onTuesday, September 23, 2008 by PENDITA MUDA .
Telah berfirman Allah S.W.T
21. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab:21)
Mahasiswa…apa yang anda ketahui dengan as-Sirah? Adakah as-Sirah itu sama maksudnya dengan sejarah? Adakah subjek sejarah yang dipelajari semasa di bangku persekolahan itu satu sirah? Segala persoalan ini sering kali bermain di minda…
Kebanyakan mahasiswa hari ini menganggap bahawa sejarah adalah sama dengan as-Sirah. Sebenarnya, sirah dan sejarah adalah dua perkara yang berbeza pada hakikatnya walaupun dari segi konsep kedua-duanya boleh dikatakan sama. Sirah dan sejarah kedua-duanya menerangkan perkara/peristiwa yang benar-benar berlaku dan boleh menjadi rujukan utama dalam melihat kembali peristiwa yang telah berlaku. Tambahan, as-Sirah lebih berkait rapat dengan kronologi/peristiwa annubuwwat dan moral yang boleh diambil menerusinya.
Berdasarkan buku Fiqh al-Sirah karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, tujuan dalam mengkaji riwayat hidup Rasulullah s.a.w dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian atau episod-episod yang bersejarah atau juga memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh itu, kita tidak seharusnya menganggap kajian sejarah atau riwayat hidup Rasulullah ini sama dengan mentelaah sejarah para pemerintah (khalifah) terdahulu.
Tujuan pokok dari kajian yang dimaksudkan ini adalah supaya setiap muslim khususnya mahasiswa dapat memahami , menganggap, dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri.
Menurut Muhammad Munir al-Ghabban melalui Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi s.a.w, menyatakan tidak ada jalan lain kecuali mempelajari dan mengkaji secara mendalam terhadap peringkat-peringkat yang dilalui Rasulullah serta tahap-tahap bagi setiap peringkat tersebut. As-Sirah adalah amalan praktikal bagi Islam. Ia merupakan gambaran ideal bagi menegakkan daulah Islamiyyah yang mengalami kejatuhan pada tahun 1924M.
Menurut Dato’ Seri HJ. Abdul Hadi Awang melalui bukunya Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah, mengkaji sirah Rasulullah s.a.w itu bukanlah seperti kita mengkaji seorang tokoh atau pemimpin biasa atau sekadar kagum dan bermegah dengan ketokohan atau kepimpinannya, tetapi di sana ianya mempunyai hubungan yang erat dengan persoalan mengapa kita beriman dengan Allah S.W.T , mengapa kita percaya dengan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w , mengapa kita beriman dengan Kitab yang diwahyukan kepadanya, mengapa kita mendakwah orang lain supaya beriman seperti berimannya kita, bahkan seterusnya mengapa kita berjihad seperti jihadnya pula…
Oleh itu, pengajian as-Sirah Rasulullah ini akan mencapai matlamatnya. Antara matlamatnya:
• Memahami syaksiyyah (keperibadian) Rasulullah di dalam kehidupannya dan segala situasi yang dialaminya bagi menyakinkan bahawa nabi Muhammad s.a.w itu bukan sekadar seorang tokoh di kalangan kaumnya tetapi lebih daripada itu (alamiyyah) dan sebagai seorang Rasul yang didokong dengan wahyu dan sentiasa mendapat Taufik dan Hidayah Allah S.W.T.
• Mendapat gambaran yang jelas dari contoh yang paling baik di dalam kehidupan yang paling berakhlak dan bernilai tinggi, yang menjadi perlembagaan hidup yang wajib dipegang dan semestinya mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.
• Dapat memahami (Kitab Allah) dengan cara yang betul melalui penghayatannya dan merasai roh dan matlamatnya, kerana banyak ayat-ayat al-Quran itu sendiri ditafsirkan oleh peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w.
• Dapt mengumpulkan pengetahuan yang sebanyaknya tentang Islam sama ada berhubung dengan aQidah, hukum-hukum dan akhlak Rasulullah.
• Menjadikan seorang muslim dan mukmin yang dapat meneruskan cita-cita Islam melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
Kesimpulannya, pengajian as-Sirah ini terlalu penting kepada UMAT Islam khususnya kepada mahasiswa masa kini. Alangkah ruginya jika masa yang ada tidak di manfaatkan dengan sebaiknya dalam mendalami as-Sirah Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana mahasiswa-mahasiswa lah yang akan menjadi pewaris kepada perjuangan menegakkan agama Islam yang tercinta ini.
1255 pm
17 RAMADHAN 1429
Post a Comment